SBC/CIR/112/2016
02nd February, 2017


UPDATES AND GUIDELINES : NOTIFICATION FROM THE SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA (SSM): PENGUMUMAN BERHUBUNG TARIKH PENGUATKUASAAN AKTA SYARIKAT 2016 DAN PERATURAN-PERATURAN SYARIKAT 2017 - PIHAK-PIHAK BERKEPENTINGAN SSM

Dear Members of the Selangor Bar,

We have received notification from the SSM for the “Pengumuman Berhubung Tarikh Penguatkuasaan Akta Syarikat 2016 Dan Peraturan-Peraturan Syarikat 2017-Pihak-Pihak Berkepentingan SSM”.

The said notification has been reproduced below.

SALIM BASHIR
Chairman,
Selangor Bar Committee
.


______________________________________________________________________________________________________________

PENGUMUMAN BERHUBUNG TARIKH PENGUATKUASAAN AKTA SYARIKAT 2016 DAN PERATURAN-PERATURAN SYARIKAT 2017 - PIHAK-PIHAK BERKEPENTINGAN SSM

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam 1 Malaysia,

YBhg. Tan Sri/Datuk/Dato'/Datin/Tuan/Puan,

Saya dengan segala hormatnya merujuk kepada perkara di atas.

Pihak Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) ingin memaklumkan bahawa Akta Syarikat 2016 (AS 2016) akan dikuatkuasakan secara berperingkat bermula dengan fasa pertama pada 31 JANUARI 2017. Dengan tarikh penguatkuasaan fasa pertama AS 2016 ini, Akta Syarikat 1965 adalah dimansuhkan.

2. Beberapa peruntukan di dalam AS 2016 yang masih belum dikuatkuasakan adalah:

(a) seksyen 241 - peruntukan berhubung keperluan pendaftaran setiausaha syarikat untuk berdaftar dengan Pendaftar; dan

(b) Penggal 8 Bahagian III - peruntukan berhubung mekanisme penyelamat korporat iaitu perkiraan sukarela korporat (corporate voluntary arrangement) dan pengurusan kehakiman (judicial management).

3. Bermula tarikh penguatkuasaan ini, pihak SSM ingin menarik perhatian pihak YBhg. Tan Sri/Datuk/Dato'/Datin/Tuan/Puan berhubung perkara-perkara berikut:

(A) PENGENALAN SYARIKAT ANGGOTA/PENGARAH TUNGGAL (SINGLE MEMBER/DIRECTOR COMPANY)

Bermula tarikh penguatkuasaan AS 2016, syarikat boleh ditubuhkan oleh atau mempunyai seorang anggota dan anggota tunggal tersebut boleh juga menjadi pengarah tunggal. Namun, bagi syarikat-syarikat awam, AS 2016 masih mengekalkan keperluan minimum 2 orang pengarah.

(B) PERUBAHAN “SIJIL PEMERBADANAN” KEPADA “NOTIS PENDAFTARAN”

Bermula tarikh penguatkuasaan AS 2016 ini, pihak SSM akan mengeluarkan notis pendaftaran untuk pemerbadanan syarikat baharu bagi menggantikan sijil pendaftaran bagi membuktikan bahawa peruntukan berhubung keperluan pendaftaran syarikat tersebut telah dipenuhi selaras dengan peruntukan undang-undang.

(C) PENGHAPUSAN KONSEP MODAL DIBENAR (AUTHORIZED CAPITAL)

Di bawah AS 2016 ini, syarikat tidak lagi perlu menyatakan jumlah modal dibenar. Sebaliknya, syarikat hanya perlu memaklumkan jumlah modal yang dikeluarkan (issued share capital) serta jumlah modal berbayar (paid up capital) dan perubahan yang berkaitan melalui penyata pengumpukan (return of allotments).

(D) PENGHAPUSAN KONSEP NILAI NOMINAL PADA SYER (SYER WITH NOMINAL VALUE)

Bermula 31 Januari 2017, mana-mana syer yang dikeluarkan tidak lagi terikat dengan nilai nominal yang ditetapkan sewaktu syarikat diperbadankan. Syarikat boleh mengeluarkan syer pada harga yang ditetapkan mengikut faktor-faktor yang mempengaruhi keadaan dan keperluan semasa syarikat.

(E) SYARIKAT TIDAK PERLU MEMPUNYAI PERLEMBAGAAN ATAU MEMORANDUM & ARTIKEL PERSATUAN

Bagi syarikat yang diperbadankan bermula 31 Januari 2017, syarikat tersebut mempunyai pilihan sama ada untuk mempunyai perlembagaan atau sebaliknya. Bagi syarikat yang diperbadankan sebelum AS 2016 dikuatkuasakan, perlembagaan sedia ada akan terus terpakai terhadap syarikat tersebut sehingga syarikat memutuskan sebaliknya. Walau bagaimanapun, syarikat berhad menurut jaminan masih diwajibkan untuk mempunyai perlembagaan.

(F) SYARIKAT TIDAK PERLU MEMPUNYAI METERAI RASMI (COMMON SEAL)

Bermula 31 Januari 2017, syarikat mempunyai pilihan untuk tidak mempunyai meterai rasmi. Pelaksanaan dokumen syarikat hendaklah mengikut tatacara yang digariskan di bawah Penggal 9 Bahagian II termasuk keadaan sekiranya syarikat memilih untuk mempunyai meterai rasmi.

(G) PENGHAPUSAN KEPERLUAN MESYUARAT AGUNG TAHUNAN BAGI SYARIKAT PERSENDIRIAN

Bermula 31 Januari 2017, semua syarikat persendirian tidak lagi diperlukan untuk mengadakan mesyuarat agung tahunan. Sebaliknyakeputusan syarikat persendirian boleh dijalankan sepenuhnya melalui resolusi edaran.

(H) PENGASINGAN PENYERAHSIMPANAN PENYATA TAHUNAN DAN PENYATA KEWANGAN

Di bawah AS 2016, keperluan penyerahsimpanan Penyata Tahunan adalah berdasarkan tarikh ulang tahun pemerbadanan sesebuah syarikat, manakala tarikh penyerahsimpanan Penyata Kewangan tidak lewat dari 7 bulan daripada tarikh tahun kewangan berakhir sesebuah syarikat.

4. Pihak SSM menyeru dan memohon kerjasama pihak YBhg. Tan Sri/Datuk/Dato'/Datin/Tuan/Puan untuk mengambilkira perubahan-perubahan yang dinyatakan di atas dalam menyemak semula, menggubal atau melaksanakan polisi dan proses yang memberi kesan terhadap sesebuah syarikat ketika berurusan dengan Kementerian/Jabatan/Agensi/Organisasi di bawah kawalselia YBhg. Tan Sri/Datuk/Dato'/Datin/Tuan/Puan. Ini bertujuan untuk memastikan bahawa polisi-polisi yang bersifat mesra perniagaan yang terkandung di dalam AS 2016 dapat dilaksanakan dengan lebih efisien dan faedahnya dapat dinikmati oleh masyarakat korporat secara keseluruhannya.

5. Selain daripada AS 2016, SSM juga akan menguatkuasakan Akta Skim Kepentingan 2016 bermula 31 Januari 2017. Akta Skim Kepentingan ini mengawalselia penawaran skim kepentingan sebagai satu alternatif untuk menjana modal perniagaan bagi syarikat. Peruntukan di bawah Akta Skim Kepentingan ini dahulunya merupakan sebahagian daripada Akta Syarikat 1965.

6. Dimaklumkan juga, Peraturan-Peraturan Syarikat 2017 telah diwartakan pada 26 Januari 2017 dan pelaksanaannya berkuatkuasa pada 31 Januari 2017. Sehubungan itu, dilampirkan senarai makluman kepada pelanggan seperti berikut:

(a) Fi baharu pembekalan maklumat korporat SSM

(b) Urusan serah simpan dokumen berkanun syarikat dan kaedah bayaran

(c) Tatacara serah simpan dokumen berkanun syarikat dan kaedah bayaran

(d) Fi baharu pembekalan maklumat CBID

7. Sila layari laman web SSM: www.ssm.com.my [1] untuk maklumat lanjut berkaitan Akta Syarikat 2016, Peraturan-Peraturan Syarikat 2017 serta dokumen serahsimpan yang berkaitan atau Akta Skim Kepentingan 2016. Sebagai alternatif, sila hubungi talian Hotline di 03-77214000 atau emel enquiry@ssm.com.my untuk sebarang pertanyaan lanjut.

Official Announcement on Enforcement Date Companies Act 2016

Pengumuman Rasmi Tarikh Kuat Kuasa AS 2016 (3)

CA 2016 - Pengumuman Fi Maklumat Syarikat

CA 2016 - Pengumuman Tatacara

CA 2016 - Tatacara - Lampiran

Notis Fi Baru CIDB

Sekian, terima kasih.

"Perniagaan Anda Bermula di SSM"

MOHAMAD SHAHREN MOHAMAD YUSRI
M.K. PENGARAH BAHAGIAN STRATEGI DAN KOMUNIKASI KORPORAT


Hairul Adhar Ramli (CCSD) : adhar@ssm.com.my

Mohamad Shahren Mohamad Yusri (CCSD) : shahren@ssm.com.my

Corpcomm : corpcomm@ssm.com.my



RECENT POSTINGS

Events with CPD points